HIKMAH DAN FALSAFAH IBADAH SOLAT, PUASA, ZAKAT, DAN HAJI


* Solat
Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan berdoa. Demikian juga dengan ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku dan sujud. Terdapat di sana ibadah aqal dengan berfikir, dan merenung makna Al-Quran. Di sana terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyu mencintai Allah dan merasakan Allah senantiasa memerhati dan mengamati amal hambaNya.
Solat juga menjadikan seseorang itu benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah. Setiap kali dia bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah. Rasa takut dan berharap terhadap Allah yang ditanam oleh ibadah solat ini akan memimpin di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh tindak-tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung di dalam solat tersebut.

* Zakat
Zakat bereti kesucian dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak mungkin dapat dicapai tanpa dia memberikan hak saudara-saudaranya yang miskin terhadap harta bendanya melalui zakat. Oleh itu di dalam Islam zakat adalah satu asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri sendiri yang selalu menjadi punca kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara asas penting bagi penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertaqwa.

* Puasa
Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah subhaanahu wa taaala. Sebagaimana firman Allah:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi untuk kepentingan Islam melalui menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan keletihan. Puasa yang disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan dalam diri mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat konsisten (istiqamah) yang mana kesemuanya akan menambahkan ketaqwaan kepada Allah subhaanahu wa taaala.

* Haji
Allah telah berfirman:
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Al-Hajj:27)
Seseorang Mukmin yang telah melalui seluruh proses haji ini kan kekal bersama-sama pengalaman melaksanakan ibadah tersebut. Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun. Malahan hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung semula ke Tanah Suci demi untuk mencurahkan rasa kecintaannya kepada Allah di Baitullah.


SYARAT AMAL UNTUK MENDAPAT STATUS IBADAH


Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
* Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
* Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
* Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)
* Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
* Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.


PEMBAHAGIAN IBADAH UMUM DAN KHUSUS


Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
* Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.
Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)

* Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.


RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM


Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.
Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali bertemu Allah di hari pembalasan nanti.
Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-Mulk:2)
Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut.


HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH


Bila seseorang itu telah mempunyai aqidah yang kukuh maka:
* Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah sebagaimana firman Allah:
Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. (Adz-Dzariyat:56)
Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah semata-mata, menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan manusia.

* Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang selain dari ketaatan kepada Allah.
Firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thoghut. (Al-Nahl:36)
Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain Allah.

* Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah


PENGERTIAN IBADAH

Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:


Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat

Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadah ialah pengabdian dir sepenuhnya kepada Allah subhaanahu wa taaala.

Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)


by: http://noradila.tripod.com/skimatarbiyyahipij/id95.html

Powered by Blogger